KOTA BHARU: Pelantikan kontraktor untuk projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 dan 3 dijangka dapat dibuat pada November ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 dan 3 merupakan tindakan jangka panjang pembinaan infrastruktur perlindungan banjir bagi kawasan lembangan Sungai Golok.

"PLSB Sungai Golok Fasa 2 akan memberi tumpuan kepada kawasan di sepanjang Sungai Golok khususnya Rantau Panjang dan kawasan penempatan di sebelah kiri Sungai Lanchang Lemal.

"Fasa 3 pula akan melengkapkan keseluruhan sistem tebatan banjir bagi lembangan Sungai Golok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata secara keseluruhannya, pelaksanaan Projek PLSB Sungai Golok Fasa 1, 2 dan 3 melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM2 bilion dan dijangka melindungi 31,000 penduduk dan kawasan seluas 66,000 hektar daripada banjir.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan PLSB Sungai Golok (KESBAN) Fasa 1 dengan peruntukan berjumlah RM656 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos ini.

"Fasa 1 melibatkan empat skop utama iaitu pembinaan Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Ban Sungai Mentua.

"Projek ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir, di samping mengekalkan kedalaman minimum laluan pelayaran sedalam tiga meter di muara Sungai Golok bagi tujuan laluan bot dan perlindungan muara Sungai Golok daripada risiko banjir pantai," katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan proaktif jangka pendek melalui pelarasan di Kampung Tersang di Rantau Panjang dengan pembinaan struktur alur limpah.

"Struktur ini berfungsi untuk mempercepat saliran dalaman bagi mengurangkan risiko banjir dan ia dijangka siap pada bulan ini (Ogos)," katanya.

Pada Sabtu, Bernama melaporkan penduduk di sekitar Kampung Tersang yang sering terjejas akibat banjir melahirkan rasa syukur atas tindakan pantas Kerajaan Perpaduan yang meluluskan pembinaan struktur alur limpah pada benteng projek PLSB Sungai Golok di Pengkalan Teluk.

-- BERNAMA